(中文版) | (English Version)

Pulau Redang ialah salah satu pulau yang terbesar di pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan salah satu daripada sembilan pulau yang berada di dalam lingkungan Taman Laut Pulau Redang. Pelancong-pelancong boleh menaiki feri ke Pulau Redang di jeti Merang atau Kuala Terengganu. Resort-resort tertentu juga menyediakan perkhidmatan feri sendiri. Selain itu, pelancong-pelancong juga boleh menaiki kapal terbang ke Pulau Redang melalui penerbangan terus yang ditawarkan oleh Berjaya Air daripada Singapura (Lapangan Terbang Changi) ataupun Kuala Lumpur (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah).

Selain daripada Pulau Redang, kepulauan Pulau Redang turut terdiri daripada Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Ekor Tebu, Pulau Ling dan Pulau Pinang. Pulau Redang merupakan pulau yang terbesar dalam kawasan Taman Laut Pulau Redang dengan saiz 7km panjang dan 6km lebar. Titik tertinggi di Pulau Redang merupakan Bukit Besar dengan ketinggian 359 meter di atas permukaan laut. Sempadan Taman Laut Pulau Redang ditetapkan oleh satu garis yang menghubungkan titik-titik yang terletak 2 batu nautika daripada pantai-pantai Pulau Redang, Pulau Lima, Pulau Ekor Tebu dan Pulau Pinang. Pulau-pulau yang berhampiran seperti Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas dan Pulau Susu Dara turut diwartakan sebagai Taman Laut. Walau bagaimanapun, resort-resort hanya terdapat di pulau-pulau yang lebih besar seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas. Fungsi utama Taman Laut adalah untuk melindungi ekosistem marin dan daratan dengan meminimasi impak negatif aktiviti manusia terhadap alam sekeliling. Antara tindakan yang diambil termasuk pengurusan sisa dan pencemaran serta aktiviti konservasi terumbu karang dan habitat daratan.