中文版 | English Version

Para pelancong boleh menuju ke Pulau Redang melalui penerbangan terus yang dioperasi oleh Berjaya Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) di Kuala Lumpur dan juga dari Terminal Bajet Lapangan Terbang Changi, Singapura. Anda perlu menghubungi pihak resort terlebih dahulu untuk mengatur pemindahan dari lapangan terbang ke resort.

Cara lain ialah untuk pergi ke Redang melalui feri dari Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu ataupun Jeti Merang. Feri-feri yang dimiliki oleh resort biasanya akan mengangkut para penumpang dari Jeti Merang ke Redang. Walau bagaimanapun, resort-resort tertentu menggunakan feri yang berlepas dari Jeti Shahbandar ke Jeti Kampung di Redang. Selepas itu, para penumpang akan menaiki bot lain dan menuju ke resort masing-masing. Pakej-pakej yang ditawarkan oleh resort biasanya sudah merangkumi tiket feri ini.

Para pelancong yang tiba di lapangan terbang atau terminal bas Kuala Terengganu harus memberitahu resort mengenai tarikh dan masa ketibaan mereka supaya dapat mengatur pemindahan ke salah satu jeti di atas. Biasanya pemindahan ini hanya akan memerlukan sejumlah duit yang kecil. Selain itu, para pelancong harus memberitahu pihak resort mengenai tarikh dan masa penerbangan atau bas semasa perjalanan pulang. Ini akan memudahkan pihak resort untuk menasihati para pelancong mengenai masa yang paling tepat untuk bertolak dari Redang supaya sempat sampai di Kuala Terengganu untuk perjalanan pulang. Selain itu, para pelancong boleh menyewa sebuah taxi di lapangan terbang atau terminal bas untuk pergi ke jeti. Syarikat-syarikat bas tertentu juga ada menyediakan perkhidmatan pemindahan ke kedua-dua jeti tersebut. Tempat letak kereta terdapat di Jeti Merang atau di mana-mana tempat parkir umum di Kuala Terengganu untuk para pelancong yang memandu kenderaan sendiri.

Jeti Shahbandar

Jeti Shahbandar terletak di pusat bandar Kuala Terengganu dan bertentangan dengan Pusat Informasi Pelancong serta Pejabat Pos Kuala Terengganu. Ia juga berhampiran dengan pasar, kedai-kedai, warung-warung makanan serta tarikan-tarikan pelancongan seperti Bukit Puteri, Istana Maziah dan Kampung Cina.

Perjalanan kaki ke Jeti Shahbandar dari Terminal Bas Kuala Terengganu ialah kira-kira 15 minit manakala perjalanan melalui kereta dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Jeti Shahbandar ialah lebih kurang 25 minit.

Perjalanan bot dari Jeti Shahbandar ke Pulau Redang ialah kira-kira 1.5 jam.

Jeti Shahbandar terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin.

Alamat penuh untuk Jeti Shahbandar:

Jeti Pelancongan Shahbandar,
Jalan Sultan Zainal Abidin,
20670 Kuala Terengganu,
Terengganu.

Sila cari “Bukit Puteri, Kuala Terengganu” atau “Dataran Syah” jika anda menggunakan Google Earth.

Resort yang menggunakan feri dari Jeti Shahbandar:

Resort Dari Jeti Shahbandar Dari Redang
Redang Beach Resort 9am, 10.30am, 3pm 7.30am, 11am, 1pm
Redang Laguna Resort 9.30am, 12noon 9am, 11.30am
Redang Bay Resort 9am, 10.30am, 3pm 7.30am, 11am
Redang Reef Resort 9am, 10.30am, 3pm 7.30am, 11am, 1pm
Redang Island Resort 10.30am, 3pm 7am, 1pm
Coral Redang Island Resort 9am, 10.30am, 3pm 7.30am, 11am, 1pm
Redang Holiday Beach Villa  9am, 10.30am, 3pm 7.30am, 11am, 1pm

 

Jeti Merang

Merang tidak harus dikelirukan dengan Marang, iaitu nama sebuah pekan yang terletak di utara Kuala Terengganu. Jeti Merang merupakan jeti terdekat di Semenanjung Malaysia dari Redang dan perjalanan melalui kereta dari Kuala Terengganu ke Merang mengambil masa kira-kira 40 minit. Setiap resort mempunyai jeti tersendiri serta kaunter daftar masuk masing-masing di Jeti Merang. Tempat parkir umum juga disediakan untuk para pelancong yang memandu kenderaan sendiri.

Jeti Merang terletak di sebuah perkampungan nelayan kecil di Merang. Para pelancong boleh mengikut papan-papan tanda untuk mengetahui arah ke jeti. Perjalanan melalui kereta dari Terminal Bas Kuala Terengganu ke Jeti Merang mengambil masa lebih kurang 40 minit manakala perjalanan dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Jeti Merang pula mengambil masa kira-kira 30 minit.

Perjalanan sehala melalui bot dari Jeti Merang ke Pulau Redang ialah kira-kira 1 jam.

Koordinat GPS untuk Jeti Merang ialah N 5.532600° E 102.948633°

Resort yang menggunakan feri Jeti Merang:

Resort Dari Jeti Merang Dari Redang
Redang Pelangi Resort 9.30am 8am-10am
Redang Kalong Resort 10am 8.30am
Redang Mutiara Beach Resort 9.30am 10.30am
Sari Pacifica Resort & Spa Bila-bila masa (pemindahan peribadi) Bila-bila masa (pemindahan peribadi)

 

Penerbangan dari Kuala Lumpur atau Singapura ke Pulau Redang

Berjaya Air mengoperasi penerbangan terus ke Redang dari dua lapangan terbang, iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (atau Lapangan Terbang Subang) dan Terminal Bajet Lapangan Terbang Changi di Singapura. Penerbangan dari Lapangan Terbang Subang mengambil masa 55 minit manakala jangka masa perjalanan dari Lapangan Terbang Changi ialah 80 minit.

Para tetamu yang menginap di Redang Island Resort (juga dikenali sebagai Berjaya Resort) akan diangkut dari landasan kapal terbang Redang yang terletak berdekatan dengan Jeti Kampung ke resort tersebut yang jaraknya kurang daripada 10 minit. Para tetamu di resort lain pula akan menaiki van ke Jeti Kampung dan seterusnya menaiki bot untuk menuju ke resort masing-masing. Kos-kos pemindahan dari landasan kapal terbang ke resort dengan van dan/atau bot sudah termasuk dalam pakej-pakej pelancongan ‘fly and stay’ yang ditawarkan oleh Berjaya Air dan resort-resort tertentu. Tetamu yang lain pula perlu membuat pengaturan dengan resort masing-masing untuk pemindahan tersebut.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu

Penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dioperasi oleh Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia. Jangka masa penerbangan Malaysia Airlines atau AirAsia ialah 55 minit manakala perjalanan dengan Firefly ialah 60 minit. Penerbangan Malaysia Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan AirAsia pula bertolak dari KLIA2. Selain itu, penerbangan Firefly berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (atau Lapangan Terbang Subang) yang jaraknya hanya 28 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Para pelancong antarabangsa yang tiba di KLIA dan seterusnya hendak menaiki kapal terbang ke Kuala Terengganu dari KLIA2 patut memperuntukkan masa yang secukupnya untuk perjalanan di antara dua terminal tersebut. Jangka masa yang diperlukan ialah kira-kira 15 minit melalui teksi atau 20 minit melalui bas pengantara yang bertolak setiap 20 minit. Selain itu, para pelancong perlu memperuntukkan 45 hingga 60 minit untuk perjalanan antara KLIA/KLIA2 dan Lapangan Terbang Subang melalui teksi.

Lapangan Terbang Sultan Mahmud Shah terletak 15km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Ia merupakan lapangan terbang yang menguruskan penerbangan dari dan ke Kuala Terengganu. Perjalanan pada keadaan lalu lintas yang biasa ke Jeti Shahbandar mengambil masa 30 minit manakala perjalanan ke Jeti Merang mengambil masa 40 minit. Para pelancong boleh membayar ajen pelancongan atau pihak resort untuk mengatur pengangkutan di antara lapangan terbang dan jeti. Selain itu, anda boleh membeli kupon teksi di kaunter teksi yang terdapat di lapangan terbang. Kupon ke Jeti Shahbandar berharga RM25 manakala kupon ke Jeti Merang pula berharga RM50. Para pelancong harus memperuntukkan kira-kira 2.5 hingga 3 jam (termasuk masa yang diperlukan untuk daftar masuk) untuk pemindahan dari Redang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Shah supaya tidak lewat untuk penerbangan.

Cadangan masa ketibaan di Lapangan Terbang Kuala Terengganu:

Syarikat Penerbangan Dari Kuala Lumpur Tiba di Kuala Terengganu
AirAsia 7am (KLIA2) 7.55am
Firefly 7.20am (Subang) 8.20am

 

Perjalanan Melalui Bas ke Kuala Terengganu

Para pelancong yang menaiki bas akan dapat menikmati pemandangan kawasan luar bandar dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Biasanya bas akan berhenti di beberapa perhentian di sepanjang perjalanan supaya para penumpang boleh makan dan pergi ke tandas. Oleh itu, para penumpang yang terlepas masa rehat tetapi masih hendak ke tandas patut memberitahu pemandu atau staf bas supaya bas dapat dihentikan di tandas yang berdekatan. Kebanyakan bas biasanya tidak mempunyai tandas sendiri.

Bas-bas mewah satu tingkat atau dua tingkat juga ditawarkan oleh syarikat-syarikat bas tertentu. Bas-bas ini dilengkapi dengan atendan-atendan yang menghidangkan makanan dan minuman untuk penumpang serta kerusi-kerusi urut dan sistem hiburan audio-video. Syarikat-syarikat bas tertentu pula memasang kerusi-kerusi ‘snoozer capsule’ elektrik di dalam bas-bas mereka. Kerusi-kerusi tersebut boleh dibaringkan secara mendatar tanpa mengambil tempat duduk penumpang di belakang. Bas-bas mewah selalunya mempunyai 16 hingga 18 tempat duduk manakala bas-bas VIP satu tingkat biasanya mempunyai 21 hingga 27 tempat duduk di dalam konfigurasi 1-2. Konfigurasi ini memberikan lebih keselesaan kepada para penumpang dan juga lebih ruangan untuk kaki supaya mereka dapat berehat atau tidur dengan selesa dalam perjalanan.

Para pelancong biasanya perlu menaiki bas malam supaya sempat tiba di Kuala Terengganu ataupun Merang untuk menaiki feri ke Redang kerana masa berlepas feri ini selalunya pada waktu pagi. Oleh itu, para penumpang perlu bersiap sedia untuk perjalanan malam dengan membawa bersama bantal dan topi supaya dapat berehat dengan selesa di dalam bas. Selain itu, para penumpang juga harus memakai pakaian yang tebal sedikit kerana suhu di dalam bas pada waktu malam akan menjadi agak rendah. Walau bagaimanapun, para pelancong akan dapat memilih di antara bas pagi/petang dan malam semasa perjalanan pulang. Pelancong-pelancong yang ingin melihat pemandangan kawasan luar bandar yang indah boleh memilih untuk menaiki bas pagi/petang manakala mereka yang ingin mengunjungi tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu boleh menaiki bas malam.

Tempah tiket bas anda secara dalam talian -> Klik di sini

Perjalanan Melalui Bas ke Kuala Terengganu dari Singapura

Jangka masa yang diperlukan untuk perjalanan bas dari Singapura ke Kuala Terengganu ialah kira-kira 9 hingga 10 jam. Ini adalah bergantung kepada keadaan lalu lintas di atas Tambak Johor atau Laluan Kedua Malaysia-Singapura. Walau bagaimanapun, bas-bas yang berjalan pada waktu malam akan tiba di Kuala Terengganu atau Merang sebelum 8.30am.

Harga tiket bas Transnasional adalah yang paling murah di antara semua syarikat bas. Syarikat ini menguruskan perjalanan bas harian di antara stesen bas Lavender (terletak di persimpangan Lavender dan Kallang Bahru) dan Kuala Terengganu atau Kota Bahru. Bas-bas Transnasional biasanya singgah di stesen Larkin di Johor Bahru untuk mengambil penumpang dalam perjalanan ke bahagian utara. Oleh itu, tempoh perjalanan bas-bas Transnasional adalah lebih panjang berbanding dengan syarikat-syarikat lain. Penumpang-penumpang yang balik ke Singapura boleh turun di Imigresen Woodlands atau di stesen bas Lavender di Singapura. Para penumpang yang turun di Imigresen Woodlands kena memberitahu pemandu bas bahawa mereka tidak akan naik bas lagi selepas turun.

Bas-bas syarikat Konsortium  pula bertolak dari Kompleks Golden Mile di Beach Road, Singapura ke Jeti Merang atau Jeti Shahbandar. Perjalanan bas Konsortium mengambil masa yang lebih pendek kerana bas-bas syarikat tersebut menggunakan Laluan Kedua Malaysia-Singapura. Oleh itu, masa pelepasan bas-bas Konsortium dari Singapura lebih lewat berbanding dengan syarikat-syarikat lain. Selain itu, bas-bas syarikat Konsortium selalunya singgah di Jeti Merang pada 10am dan juga Jeti Shahbandar pada 11am untuk mengambil penumpang. Masa ketibaan di Singapura ialah kira-kira 8pm dan ini juga bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Anda mungkin tidak akan dapat membeli tiket bas dari Singapura ke Kuala Terengganu semasa musim puncak. Oleh itu, anda boleh menaiki bas ke Kota Bahru dan membuat permintaan untuk turun di Kuala Terengganu kerana bandar ini terletak dalam perjalanan ke Kota Bahru. Jika anda hendak ke Pulau Perhentian, anda pula boleh turn di Jertih, sebuah pekan yang terletak 15km dari Kuala Besut, kemudian menaiki teksi dari situ ke Kuala Besut. Selain itu, anda boleh pergi ke stesen bas Larkin dengan menaiki bas Causeway Link yang berwarna kuning di stesen MRT Kranji atau pergi ke Terminal Ban San di persimpangan jalan-jalan Queen dan Arab untuk menaiki bas ekspres Singapura-Johor yang bernombor SBS170. Anda juga boleh menyewa sebuah bas ke stesen bas Larkin di Kompleks Golden Mile sekiranya anda bergerak dalam satu kumpulan yang besar.

Para pelancong yang menaiki bas di antara Singapura dan Malaysia mesti turun di dua stesen imigresen untuk pemeriksaan: satunya semasa keluar dari negara manakala yang satu lagi semasa masuk ke negara. Para penumpang hanya perlu membawa bersama pasport dan barang-barang berharga dan tidak perlu membawa bersama bagasi semasa keluar dari negara. Penumpang-penumpang pula mesti membawa bersama semua bagasi dan barang-barang semasa masuk ke negara. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya tidak membawa bagasi yang terlalu berat. Selain itu, para penumpang harus mengingati plat nombor dan tanda-tanda bas supaya dapat menaiki bas yang betul selepas pemeriksaan di stesen imigresen.

Tempah tiket bas anda secara dalam talian -> Klik di sini

Perjalanan Melalui Kenderaan Sendiri ke Kuala Terengganu

Keadaan jalan raya dan lebuhraya di Malaysia memberikan pengalaman memandu yang menyenangkan kepada para pemandu. Pemandu-pemandu juga boleh menikmati pemandangan yang indah dalam perjalanan ke pantai timur Semenanjung Malaysia. Anda tidak perlu risau akan kenderaan anda kerana terdapat tempat-tempat letak kereta di Kuala Terengganu dan juga Merang. Tempat-tempat parkir ini berada di bawah jagaan pegawai-pegawai keselamatan dan warden-warden. Tempat letak kereta terbuka di Merang berharga RM5 sehari manakala tempat letak kereta yang berteduh pula berharga RM10 sehari. Jumlah tempat letak kereta di Jeti Shahbandar agak terhad. Walau bagaimanapun, terdapat juga tempat-tempat parkir lain yang berdekatan dengan jeti.

Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu (kira-kira 455km):

Pandu ke arah timur dan menuju ke arah Bukit Besi dari KL melalui lebuhraya Karak 2 dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Bahagian LPT selepas Bukit Besi masih dalam proses pembinaan. Selepas itu, keluar daripada LPT dan masuk ke lebuhraya 14 untuk menuju ke utara ke arah Kuala Terengganu. Anda akan melalui pekan Ajil dalam perjalanan. Fasa 2 LPT dijangka akan siap pada akhir tahun 2011 dan akan memendekkan jarak antara Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu kepada 410km. Ini kerana para pemandu boleh terus sampai ke Kuala Terengganu melalui LPT dan jangka masa perjalanan pula hanya akan mengambil masa 3.5 jam.

Pulau Pinang ke Kuala Terengganu (kira-kira 460km):

Pandu ke arah timur dan menuju ke Kota Bahru melalui lebuhraya Timur-Barat 4. Anda akan melalui pekan-pekan Grik dan Jertih dalam perjalanan. Selepas itu, teruskan perjalanan ke arah selatan dan gunakan lebuhraya 3 untuk menuju ke Merang atau Kuala Terengganu.

Singapura/Johor Bahru ke Kuala Terengganu (kira-kira 562km):

Masuk ke Lebuhraya Utara Selatan dan meneruskan perjalanan ke arah Utara seterusnya keluar di Yong Peng. Gunakan lebuhraya 1 untuk sampai ke Labis dan Segamat dan lebuhraya 2 untuk sampai ke Kuantan. Selepas itu, gunakan LPT untuk menuju ke Bukit Besi. Keluar dari LPT dan masuk ke lebuhraya 14 seterusnya menuju utara ke arah Kuala Terengganu. Anda akan melalui pekan Ajil dalam perjalanan. Satu cara alternatif dari Kuantan ialah untuk gunakan lebuhraya pantai 3 yang melalui pekan-pekan Kemaman, Paka dan Dungun. Jalan ini mempunyai pemandangan yang lebih panoramik tetapi akan menjadi agak sesak ketika waktu puncak. Para pelancong yang tidak mengejar masa boleh pergi ke Mersing terlebih dahulu seterusnya masuk ke lebuhraya pantai 3 daripada situ, kemudian menuju ke arah Kuala Terengganu melalui lebuhraya tersebut.

Dari Kuala Terengganu ke Merang:

Papan-papan tanda yang terdapat di sepanjang lebuh raya menunjukkan arah ke lapangan terbang/Kota Bahru, Batu Rakit, Universiti Malaysia Terengganu (UMT; juga dikenali sebagai KUSTEM), Pantai Sutra dan Jeti Merang. Para pelancong boleh mengikut arah yang ditunjukkan untuk menuju ke destinasi masing-masing. Selain itu, laman web Laguna Resort juga mempunyai sebuah peta untuk rujukan para pelancong.


Resort Redang Popular

[columns] [span3]

Redang Beach Resort

[/span3][span3]

Redang Laguna Resort

Laguna Redang Island Resort

[/span3][span3]

Coral Redang Island

[/span3][span3]

Redang Holiday Beach

[/span3][/columns]

5 Responses

  1. Boleh ke saya hanya ingin melawat pulau redang dan tidak tinggal sana, pagi pegi dan blk petang

  2. salam
    saya dan keluarga bercuti di The Taaras Beach.
    kami seramai 11 orang, soalan:
    1. Bagaimana dari jetty Shah Bandar ke Jetty Pulau Redang?
    2. Jadual perjalanan feri / bot serta bayaran?

  3. Kawan saya 11 orang nk gi Pulau Redang, menginap 2 malam di Redang Island Resort (Berjaya Redang Rsort). Dari KL ke TGG naik Malindo airline, mendarat jam 8am, 2/6/16. langsong ke pulau dgn ferry di Shhahbandar.
    soaan:
    1. Cadang nak gi dgn ferry/ jam 10.30 ke Berjaya Redang Resort. Sesuai kah masa ferry ini?
    2. Baucer penginapan d Berjaya Redang Resort tidak termasuk tiket ferry. Boleh kah tiket ini di beli sekarang.

  4. I want go to redang island by 8/7/2016 until 10/7/2016 (3D2N)
    can u give me a schedule or arraged for me .
    2 adult 3 child (8,7 n 1 years)
    by flight from sultan Abdul Aziz airport to redang island (redang island resorta)
    tq

Leave a Reply to Simon Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *